Rekreasi aktif banyak melibatkan aktiviti fizikal (Rajah 6.1). Pada zaman ini, ramai orang lebih cenderung melakukan rekreasi aktif. Ini kerana ia memberikan pengalaman, cabaran dan keseronokan kepada individu. Berikut ialah ciri-ciri rekreasi aktif:
(a) Kegiatan sukan, sama ada sebagai pemain atau penonton – golf, bola sepak, berenang, bermain tenis, boling, gimnastik.
(b) Rekreasi luar – suka membawa kereta, bersiar di tepi pantai, berjalan atau berkelah.
(c) Melancong lebih dari satu malam – membuat perjalanan yang jauh, lawatan, cuti hujung minggu dan bercuti.
Antara ciri-ciri rekreasi pasif adalah:
(a) Aktiviti yang dibuat di rumah – menonton TV, membaca, mendengar muzik, bercucuk tanam dan melakukan hobi lain.
(b) Aktiviti berunsur sosial yang tinggi – menghibur atau melayan kawan atau saudara, makan di luar dan menghadiri majlis keramaian.
(c) Aktiviti kebudayaan, pembelajaran dan minat kepada perkara-perkara artistik – pergi teater, konsert, pameran dan muzium.
Seperti yang anda sudah ketahui rekreasi pasif tidak banyak menggunakan tenaga seperti rekreasi aktif. Namun begitu ia tetap memberi kebaikan atau sumbangan kepada gaya hidup sihat. Rekreasi pasif adalah penting di dalam gaya hidup sihat kerana ia memberikan keseronokan atau hiburan kepada seseorang dari segi psikologi.
Apabila anda berasa ceria atau seronok, anda akan bertambah sihat. Ini disebabkan jiwa anda lebih tenang dan tidak mengalami tekanan. Cara terbaik memulihkan seseorang yang menghadapi tekanan atau stres ialah dengan menenangkan mereka dengan relaksasi, keseronokan, kegembiraan dan hiburan.
Rekreasi pasif juga memupuk semangat perpaduan kerana ia menggalakkan pergaulan dengan orang ramai. Selain itu, ia juga boleh merapatkan perhubungan sosial anda dengan keluarga, rakan dan masyarakat .
Walaupun rekreasi pasif tidak menggunakan tenaga yang banyak seperti rekreasi aktif, ini tidak bermakna ia tidak baik. Sebagai contohnya bercucuk tanam juga adalah rekreasi pasif, tetapi ia tetap mengeluarkan peluh. Dengan erti kata lain ia juga memberi sumbangan yang sama iaitu meningkatkan kesihatan. Namun jika anda selalu menghabiskan masa dengan menonton televisyen atau mendengar radio tanpa melakukan pergerakan yang boleh mengeluarkan peluh, ini tidak baik untuk kesihatan. Ia boleh menambahkan lemak berlebihan serta meningkatkan kolesterol dalam badan anda dan seterusnya mendedahkan anda kepada penyakit-penyakit yang berbahaya.
Oleh itu anda bukan sahaja perlu menjaga pemakanan atau kesihatan dengan bersenam, tetapi anda juga mesti menjaga mental dan emosi anda sekali. Apabila kesemua ini dapat diseimbangkan, hidup anda akan menjadi lebih sihat, ceria dan cergas.