Penyalahgunaan Bahan

Sebelum kita meneruskan perbincangan, kita perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan ubat, racun dan dadah.

Ubat adalah bahan kimia yang digunakan oleh doktor untuk merawat penyakit. Contoh ubat adalah paracetamol dan ubat batuk.



“Ubat adalah bahan yang digunakan untuk perubatan bagi mengesan (diagnosis), meringankan, merawat, menyembuh atau mencegah penyakit pada manusia serta meningkatkan taraf kesihatan. Ubat boleh digunakan dengan berbagai cara dan bentuk iaitu boleh dimakan dan diminum. Selain itu, ia juga boleh digunakan dengan memasukkannya melalui dubur (supositori), faraj (pesari), suntikan, ditanam di bawah kulit, disapu dan sebagainya. “

Ruzita Mokhtar (2005)



Pada umumnya, semua ubat mempunyai risiko apabila digunakan. Namun begitu, risikonya dianggap sedikit kerana ubat lebih mendatangkan kebaikan daripada keburukan seperti menyembuhkan penyakit dan mengurangkan kesakitan. Masalah penyalahgunaan ubat mula timbul apabila ubat digunakan untuk tujuan selain daripada perubatan seperti yang dinyatakan di atas. Maka, ubat menjadi lebih berisiko.

Racun pula merupakan bahan kimia yang secara lazimnya digunakan untuk membunuh organisma hidup seperti binatang dan tumbuhan. Contohnya, racun tikus dan racun lalang.



“Racun adalah sebarang unsur yang boleh menyebabkan kecelakaan kepada tubuh badan anda. Kecelakaan yang dimaksudkan ialah kecelakaan bersifat ringan (contohnya, sakit kepala atau rasa mual) dan berat (contohnya, sawan atau demam panas), sehingga boleh menyebabkan kematian.”

Pusat Racun Negara (1998)



Selalunya, jika seseorang atau sesuatu benda hidup terkena racun yang berlebihan ia tidak akan hidup lama kerana racun mempunyai bahan kimia yang amat merbahaya. Oleh itu, penggunaannya terkawal. Ibu bapa yang membeli racun untuk tujuan menghalang pertumbuhan lalang harus menyimpannya di tempat yang tersorok agar tidak mudah dicapai oleh anak-anak.

Bahan yang seringkali disalahgunakan oleh masyarakat ialah dadah. Dadah merupakan bahan larangan yang amat popular pada masa kini tidak kira di Malaysia mahupun di luar negara.



“Dadah terdiri daripada pelbagai jenis bahan kimia asli atau tiruan yang dimasukkan ke dalam tubuh sama ada dengan memakan, menelan, meminum, menghisap ataupun suntikan bertujuan untuk mengubah keadaan badan, perasaan dan kelakuan pengguna.”

Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Bahagian Sabah


Kesan Fizikal
Kesan fizikal dapat dilihat daripada beberapa aspek. Ini termasuklah pengaruh terhadap sistem pernafasan, saraf, jantung, metabolisme dan otot-otot. Sistem-sistem in merupakan sistem terpenting dalam tubuh badan kita. Dengan ertikata lain, keadaan diri penagih dadah menjadi tidak terurus dan tidak normal. Jika dadah digunakan secara berlebihan, maka kesan ini akan menjadi lebih ketara. Apabila kadar pernafasan menjadi lebih pendek dan perlahan, kadar degupan jantung pula akan berkurangan. Seterusnya tubuh akan menggigil akibat daripada penurunan kadar metabolisme dalam badan.

Mata juga menjadi merah dan kuyu serta berat badan terjejas. Penagih juga mungkin akan mengalami sawan dan gangguan fungsi otak. Keadaan seperti ini agak sukar dipulihkan jika ia berlaku secara berterusan dan berulang kali.

Kesan Sosial
Dari aspek sosial, kebanyakan penagih akan hilang minat dan tidak mempedulikan tanggungjawab terhadap pekerjaan, keluarga serta masyarakat di sekeliling. Prestasi dan disiplin kerja mereka akan merosot. Tingkahlaku dan sikap mereka juga akan berubah daripada apa yang biasa diamalkan sebelumnya. Contohnya, seorang yang periang menjadi pendiam.

Selain itu, mereka juga tidak menghiraukan kesihatan diri dan keluarga. Perpecahan, penderaan serta keganasan terhadap ahli keluarga boleh berlaku. Ini selalunya menimbulkan kemarahan dan perasaan jijik orang ramai terhadap mereka.

Di samping itu, kebanyakan penagih tidak tinggal bersama keluarga. Mereka hidup di tempat yang lengang dan tersorok agar tidak diganggu oleh orang lain selain memudahkan mereka menggunakan dadah. Keadaan mereka diibaratkan hidup segan mati tak mahu. Akhirnya, mereka akan tersisih oleh keluarga dan masyarakat.

Kesan Mental dan Emosi
Kesan yang ketiga ialah kesan terhadap mental dan emosi. Kesan ini juga lebih dikenali sebagai kesan psikologi iaitu kesan akibat pengaruh dadah pada otak dan minda. Ini termasuklah mula berasa seronok, terangsang dan khayal (euforia). Mereka seolah-olah tidak berpijak di alam yang nyata. Pada masa yang sama, seseorang itu akan hilang kawalan diri dan pemikiran. Mereka tidak merasa segan-silu melakukan perkara yang di luar batasan di khalayak ramai. Perasaan ini akan berterusan selagi dadah masih terdapat dalam tubuh pesakit.

Pesakit juga akan berasa keluh-kesah, gian dan amat menderita sekiranya tidak mendapat bekalan dadah yang cukup. Mata akan kelihatan berair, hidung berhingus, perut berasa sakit dan perit, kadangkala muntah dan cirit-birit. Mereka boleh bertindak ganas dan hilang kawalan emosi jika keadaan ini berterusan. Akhirnya, mereka akan melakukan pelbagai perbuatan jenayah seperti menghendap, mencuri, merogol dan juga membunuh untuk melepaskan geram dan gian.

Dalam masa yang sama, mereka juga mengalami gangguan mental dan menjadi tidak waras. Badan mereka tidak lagi berfungsi dengan sempurna dan amat sukar untuk dipulihkan seperti sediakala. Hal ini amat menakutkan masyarakat sekeliling terutama sekali wanita dan anak gadis kerana ia akan meninggalkan kesan trauma pada mereka.

Oleh yang demikian, wajarlah kita menjauhkan diri daripada apa jua jenis najis dadah. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk berusaha membantu mereka yang terperangkap di samping memahami keadaan yang sedang
mereka hadapi.


Kesan pada Otak
Otak adalah salah organ terpenting yang dimiliki oleh manusia. Otak berfungsi mengawal segala pergerakan dan perlakuan seseorang. Apabila alkohol masuk ke otak melalui darah yang meresap kedalamnya, ia akan mengubah dan mempengaruhi pergerakan dan kelakuan peminumnya. Keadaan ini akan menyebabkan penindasan terhadap kawasan-kawasan otak yang biasanya mengawal maruah dan disiplin diri sehingga peminum mula merasa kurang malu, fikiran bercelaru dan pergerakannya menjadi tidak terkawal. Selain itu, peminum juga akan sukar menerima pelajaran, membentuk idea spontan, menumpukan fikiran dan membuat pertimbangan dengan teliti. Semakin banyak alkohol diminum semakin kuat otak tertindas sehinggakan peminum tidak sedarkan diri dan seterusnya mengakibatkan kematian.

Kesan pada Hati
Selain otak, alkohol juga memberi kesan terhadap hati peminum. Hati akan mengalami kecederaan iaitu mendapat luka. Sel hati akan mati dan akhirnya menjadi parut. Parut ini sedikit sebanyak akan mengurangkan kemampuan hati untuk berfungsi dengan lebih sempurna. Parut yang serius akan menyebabkan hati tidak dapat berfungsi langsung. Keadaan ini disebut sirosis hati dan boleh membawa maut. Selain itu, bengkak hati (Hepatitis) juga boleh terjadi disebabkan oleh kesan toksik alkohol yang berlebihan.

Kesan pada Saraf
Alkohol boleh merosakkan saraf-saraf yang terdapat di dalam tubuh kita. Ia akan menyebabkan kecenderungan mendapat pelbagai jenis penyakit seperti sindrom Wernicke-Korsakoff dan kerosakan sel-sel otak, yang seterusnya membawa kepada komplikasi psikiatri.

Kesan pada Janin
Pengambilan alkohol secara berlebihan oleh ibu hamil akan menyebabkan kandungannya mengalami kekurangan berat badan, saiz kepala yang terlalu kecil berbanding tubuh, keadaan muka yang rata dan kelemahan pada sendi-sendi dan otot.

Selain daripada kesan-kesan ke atas kesihatan badan, alkohol boleh juga menimbulkan pelbagai masalah sosial. Masalah ketagihan alkohol boleh merosakkan hubungan persahabatan, kehilangan pekerjaan, hutang, simpanan keluarga dihabiskan, masalah rumahtangga, penganiayaan, penderaan, keruntuhan moral dan sebagainya.