Tidur merupakan satu proses di mana kita melelapkan mata dan merehatkan badan sepenuhnya. Menurut Norlaila Hamima Jamaluddin (2006) pula, tidur adalah satu fasa di mana manusia tidak sedarkan diri buat sementara waktu. Di dalam fasa ini, badan akan memperbaiki kerosakan yang berlaku pada sel tubuh serta membantu membina sel baru. Kadar tekanan darah menurun dan kadar denyutan jantung rendah. Semasa tidur, keperluan oksigen menjadi rendah lalu menyebabkan pernafasan kita menjadi rendah.
Walau bagaimanapun, oksigen digunakan untuk memulihkan tisu-tisu pada otot serta menghasilkan sedikit tenaga untuk keperluan metabolisme dalam badan (Shamsudin et al., 2002). Otak kita juga tidak aktif membuatkan badan kita berehat sepenuhnya. Namun, ketika ini otak terlebih dahulu membuat persiapan dan persediaan untuk menghadapi keesokan harinya. Oleh itu, tidur yang cukup tanpa sebarang gangguan amatlah penting agar segala proses semasa tidur berjalan dengan lancar.
Secara amnya, keperluan seseorang individu itu untuk tidur secukupnya adalah berbeza:
(a) Bayi perlu tidur enam belas jam sehari (Shamsudin et al., 2002).
(b) Remaja memerlukan 7 jam tidur (Norlaila Hamima Jamaluddin, 2006).
(c) Orang dewasa memerlukan 7 hingga 8 jam tidur (Shamsudin et al., 2002).
Secara amnya, tidur terbahagi kepada dua peringkat iaitu:
(a) Peringkat bukan REM (Rapid Eye Movement atau pergerakan mata laju); dan
(b) Peringkat REM - pada permulaan tidur, kita akan menempuhi peringkat bukan REM terlebih dahulu. Peringkat ini terbahagi kepada empat fasa, bergantung kepada tahap kenyenyakan tidur.
Peringkat-peringkat tidur
Sumber: http://www.webkl.net/modules.php?name=News&file=print&sid=2421
(i) Dalam peringkat bukan REM, individu yang sedang tidur tidak membuat pergerakan mata yang nyata, anggota badan boleh digerakkan manakala aktiviti otak pula adalah perlahan.
(ii) Apabila tidur menjadi lebih nyenyak dan mula memasuki peringkat REM, mata akan mula bergerak-gerak, sedangkan otot-otot kecuali jantung akan menjadi lumpuh untuk sementara dan aktiviti otak menjadi aktif. Mimpi biasanya terjadi di dalam peringkat ini.
(iii) Pusingan peringkat REM dan bukan REM akan berlaku berulang kali, setiap satu hingga dua jam sepanjang tidur seseorang individu yang sihat. Walau bagaimanapun, terdapat segolongan daripada kita yang menghadapi masalah untuk mendapatkan tidur yang memuaskan dan berkualiti.
Antara masalah tidur yang semakin mendapat perhatian masyarakat adalah Obstructive Sleep Apnea atau henti nafas semasa tidur untuk beberapa ketika (beberapa saat melebihi satu minit). Ia disebabkan oleh saluran pernafasan yang tersekat sementara. Penyekatan saluran pernafasan ini boleh berlaku berulang-kali semasa tidur walaupun otot-otot yang mengawal pernafasan berusaha keras untuk meneruskan pernafasan.
Apabila keadaan tidur dalam peringkat REM menjadi terlalu nyenyak, saluran pernafasan boleh tersekat sepenuhnya sehingga menyebabkan pernafasan terus terhenti untuk beberapa ketika (apnea), atau separa tersekat sehingga menyebabkan paras oksigen berkurangan sehingga 30-50% (hypopnea). Di kalangan orang dewasa, apnea dan hypopnea dianggap berbahaya jika ia mengambil masa selama 10 saat atau lebih, sekurang-kurangnya lima kali setiap jam.
Selain apnea dan hypopnea, manusia juga sering mengalami insomnia iaitu penyakit susah tidur (Norlaila Hamima Jamaluddin, 2006). Selalunya dalam keadaan ini, pesakit biasanya berasa tidak puas dengan kualiti dan tempoh tidur.