Mengetahui punca-punca stres adalah penting kerana ia dapat membantu kita berhadapan dengan stres secara positif. Jika tidak, anda akan keliru dan gagal mengatasi masalah yang anda hadapi. Tekanan perasaan atau stres boleh dihindari jika anda berupaya meningkatkan kemampuan dan keyakinan diri untuk mengatasinya.
Oleh yang demikian cara termudah mengatasi stres ialah dengan mengenalpasti puncanya.
Punca Stres di Rumah
Kematian ahli keluarga, saudara atau kawan.
Kecederaan atau penyakit yang dihadapi oleh orang yang kita sayang.
Perkahwinan kita, anak atau adik beradik.
Perceraian.
Kehamilan atau kelahiran anak.
Kelakuan anak-anak.
Prestasi pembelajaran anak yang merosot.
Anak yang hiperaktif.
Gangguan seksual.
Pertengkaran dengan isteri, keluarga atau kawan-kawan.
Masalah kewangan.
Kes kecurian.
Pindah rumah.
Pertukaran tempat, kawasan atau negara.
Punca Stres di Tempat Kerja
Untuk memenuhi permintaan pekerjaan.
Perhubungan dengan rakan sekerja.
Mengawal orang bawahan.
Melatih orang bawahan atau mengambil kerja mereka.
Tekanan kerja yang banyak.
Mengejar tarikh hantar tugasan.
Mengeluarkan penyelidikan terbaru jika anda bekerja di bahagian penyelidikan.
Kerja lebih masa pada waktu cuti.
Dibuang atau digantung kerja.
Pergaduhan dengan majikan atau rakan sekerja.
Penukaran kerja.
Bekerja melebihi kemampuan.
Gangguan di tempat kerja.
Gangguan seksual.
Punca-punca Lain yang Boleh Menyebabkan Stres
Ketakutan yang kadang-kadang berpanjangan.
Ancaman dari segi fizikal, sosial, kewangan dan lain-lain ancaman.
Ketidakpastian.
Tidak cukup tidur.
Apabila seseorang salah mentafsir tentang diri anda.
Tips Pencegahan Stress:
Anda mesti berfikiran terbuka dan positif apabila mengalami stres. Antara cara untuk mengawal stres ialah dengan menetapkan keperluan yang penting dahulu. Ini bermakna anda mesti memberi keutamaan kepada tugas-tugas yang penting untuk mengelak stres akibat tidak menyiapkan kerja yang penting.
Contohnya, majikan anda menyuruh anda menyiapkan suatu tugasan sebelum minggu berikutnya. Seorang rakan sekerja anda pula meminta bantuan anda untuk menyiapkan tugasnya. Di sini anda mesti menyiapkan kerja yang diberi oleh majikan anda sebelum membantu rakan sekerja anda. Berilah perhatian lebih terhadapnya dan cubalah menyelesaikan setiap masalah yang timbul dengan sebaik mungkin.
Untuk mengelak daripada terlupa membuat tugasan-tugasan yang penting, buatlah satu jadual. Anda juga boleh meletakkan peringatan di atas meja atau di dalam komputer supaya anda tidak lupa. Yang paling penting adalah jangan menangguhkan kerja anda. Jika tidak, ini akan menyebabkan kerja anda bertambah banyak. Anda akan mengalami stres apabila anda melihat banyak tugasan tidak disiapkan Oleh itu, sentiasalah ingat dan peka terhadap
tugasan-tugasan yang diberikan.
Anda boleh melakukan relaksasi otot secara progresif dan sistematik pada waktu rehat. Renggangkan otot-otot tubuh dengan tumpuan pada tangan, lengan, muka, kepala, leher, bahu, dada, lambung dan punggung bawah dan akhirnya ke daerah kaki . Tiap-tiap otot ditegangkan selama 5-7 saat kemudian dikendurkan selama 12-15 saat. Ulang prosedur ini 5 kali. Kaedah relaksasi ini dipercayai mampu membantu meredakan stres yang anda alami.
Teknik ini bukan sahaja membantu anda mengawal stres tetapi juga dapat meningkatkan kesihatan dari segi fizikal dan psikologi. Ini kerana relaksasi ada hubung kait dengan senaman. Seperti yang anda ketahui senaman amat baik untuk kesihatan. Relaksasi amat mudah dilaksanakan. Ia tidak memerlukan tempat yang luas atau masa yang lama.
Pengurusan masa yang bijak merupakan antara langkah yang dapat mengatasi masalah stres . Kita semua mempunyai masa 24 jam sehari. Justeru, pengurusan masa mengikut kepentingan sesuatu kerja harus kita amalkan. Kita boleh menyenaraikan sesuatu kerja mengikut kepentingan dan keperluan berdasarkan pengkelasan “perlu dilaksanakan segera” sehingga “perlaksanaan tidak segera”. Dalam erti kata lain, agihkan tugas dan kepentingan anda secara berkesan.
Untuk itu, anda mesti bijak mengatur rutin seharian anda. Anda juga mestilah sentiasa memahami rutin harian anda supaya segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan bijak dan positif. Anda juga diingati agar tidak membuat tugasan diakhir masa. Contohya, jika pengajar anda memberikan anda tugasan minggu ini. Anda seharusnya menyiapkannya minggu ini juga dan tidak menangguhkannya ke minggu hadapan. Ini kerana anda mungkin tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk menyiapkannya.
Justeru, pengurusan masa amatlah penting. Ini kerana ia dapat membantu anda mengawal stres dengan cara yang terbaik. Anda mesti ingat masa itu emas dan tidak ternilai. Oleh itu hargailah masa anda dengan melakukan aktiviti-aktiviti dengan efektif. Sentiasalah berfikir sebelum bertindak.