Individu yang cergas dan sihat merupakan salah satu daripada asas yang penting untuk memastikan negara kekal maju dan membangun. Biasanya apabila taraf hidup kita meningkat, cara hidup kita akan berubah dan pemakanan juga berubah sehingga kita lupa kepada pentingnya menjaga kesihatan diri.
Justeru itu, tidak hairanlah ramai individu masa kini berisiko menghidap pelbagai jenis penyakit seperti hipertensi, kanser paru-paru, kencing manis dan buah pinggang.
Hipertensi adalah satu penyakit berbahaya kerana ia membebankan jantung dan ini menyebabkan arteriosklerosis (pengerasan dinding arteri). Ini meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung dan strok. Hipertensi yang tidak dirawat juga akan membawa kepada penyakit kronik degeneratif seperti retinopati, strok, paru-paru berair, penebalan dinding jantung dan sakit jantung, pengerasan dinding arteri terutama di jantung, sakit buah pinggang dan otak serta boleh membawa kepada kematian.
Masyarakat sedentri yang malas bersenam dan kurang bergerak sering dikaitkan dengan penyakit hipokinetik. Tahukah anda apa itu penyakit hipokinetik? Menurut Wee (2001), istilah penyakit hipokinetik terbahagi kepada dua iaitu ‘hipo’ bererti kurang dari tahap normal dan ‘kinetik’ bermaksud aktif. Apabila dirangkumkan ia menjadi satu penyakit akibat daripada amalan hidup yang kurang aktif. Di antara jenis-jenis penyakit hipokinetik termasuklah sakit jantung (kardiovaskular), tekanan (stres), tekanan kolestrol yang tinggi, kegemukan (obesiti), tekanan darah tinggi (hipertensi), kencing manis (diabetes mellitus), sakit sendi dan sakit tulang belakang.