Peranan Diri, Kita Dan Masyarakat

Statistik HIV/AIDS dari Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan lebih 36% daripada mereka yang dijangkiti HIV terdiri daripada golongan remaja dan belia berumur di bawah 29 tahun. Jika tiada apa-apa tindakan diambil dengan segera, peratus ini akan meningkat. Generasi muda ini yang akan menyambung kepimpinan, keharmonian, kemajuan dan keamanan di negara kita. Oleh itu mereka perlu diberikan pendidikan yang tepat dan betul mengenai bahaya HIV/AIDS.

Sebagai satu masyarakat, kita tidak boleh meletakkan semua tanggungjawab dan beban untuk mencegah HIV/AIDS di atas bahu kerajaan sahaja. Ini kerana ia juga adalah tanggungjawab kita bersama.

Ada beberapa langkah yang boleh kita ambil untuk membantu pesakit HIV/AIDS dan mencegah virus berbahaya ini daripada menular dengan lebih meluas lagi iaitu:

Memberikan Sokongan dan Semangat
Penawar bagi virus HIV/AIDS masih belum dijumpai. Oleh itu, sesiapa yang dijangkiti virus ini boleh menemui maut. Kebanyakan daripada mereka mungkin merasakan kehidupan mereka tidak berguna lagi. Tetapi tanggapan mereka adalah salah. Mereka masih boleh menyumbangkan tenaga dan idea untuk mencegah wabak HIV/AIDS daripada menular. Kita sebagai satu masyarakat boleh membantu mereka dengan memberi mereka dorongan dan sokongan untuk meneruskan kehidupan dengan membuat kebajikan. Kita tidak boleh meminggirkan mereka kerana mereka juga adalah manusia. Mereka boleh memberi ceramah atau melakukan kerja-kerja kebajikan yang bersesuaian dengan mereka agar penyakit berbahaya ini tidak merebak.

Membantu Mereka dari Segi Kewangan
Apabila seseorang itu telah disahkan menghidapi penyakit HIV/AIDS, harapan untuk mereka terus hidup mungkin hancur. Ada yang mungkin dipecat dari kerja mereka. Ini tidak seharusnya berlaku. Majikan sepatutnya membantu dengan memberikan galakan kepada mereka. Ini kerana golongan ini masih lagi mampu memberi idea-idea yang bernas untuk majikan. Biasanya, kos rawatan bagi penyakit ini adalah tinggi dan kebanyakan pesakit tidak mampu membayarnya. Oleh itu, sebagai warga yang prihatin, anda boleh menderma sedikit wang kepada mereka. Ini adalah amalan baik yang disarankan oleh semua agama. Dengan menderma atau memberi mereka pekerjaan, kita dapat membantu mereka meneruskan kehidupan dan rasa dihargai.

Tidak Meminggirkan Mereka
Meminggirkan pesakit HIV/AIDS bukanlah satu jalan yang baik. Sebaliknya, kita harus menerima mereka dengan seadanya. Semua orang melakukan kesilapan. Golongan ini tidak meminta penyakit itu tetapi kelekaan dunia dan kesilapan diri menyebabkan mereka jadi demikian. Ada dikalangan mereka yang dijangkiti HIV/AIDS akibat kecuaian orang lain, contohnya seorang isteri mendapat penyakit tersebut dari suaminya. Oleh itu, kita harus bersosial dengan mereka, bukan meminggirkan mereka. Cuba bayangkan kalau anda berada di dalam situasi mereka, tentu anda akan rasa tertekan.

Memberi Pendidikan yang Betul dan Secukupnya
Pendidikan adalah cara yang terbaik untuk mencegah virus berbahaya ini dari menular. Tetapi bagaimana pendidikan itu disampaikan adalah penting. Sejak beberapa dekad ini, kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk mengadakan ceramah, bengkel, kaunseling, majalah dan sebagainya sebagai langkah pencegahan virus HIV/AIDS. Namun begitu, ia masih tidak mencukupi. Anda tidak boleh meletakkan semua beban dan tanggungjawab ini kepada kerajaan semata-mata. Ini kerana anda mempunyai peranan sendiri dalam memastikan misi ini berjaya.

Anda boleh mendidik anak-anak anda, keluarga dan rakan-rakan agar menjauhi aktiviti-aktiviti yang boleh membawa kepada jangkitan HIV/AIDS seperti seks bebas atau menghisap dadah. Ini adalah kerana penyakit ini paling kerap diakibatkan oleh dua punca tersebut. Justeru itu, pendidikan dari akar umbi atau di rumah seharusnya diterapkan agar penyakit ini berkurangan.

Sentiasa Memantau Aktiviti-aktiviti Anak-anak
Anak-anak adalah harta yang tidak ternilai. Mereka juga adalah warisan untuk generasi akan datang. Pada masa kini, terdapat pelbagai masalah berkaitan dengan golongan muda. Biasanya masalah ini berpunca dari keluarga itu sendiri. Oleh yang demikian ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam mendidik dan memantau anak-anak mereka daripada aktiviti-aktiviti yang tidak menyihatkan supaya mereka menjadi insan yang berguna. Mereka juga harus meluangkan sedikit masa untuk anak-anak mereka agar mereka rasa disayangi dan dihargai. Dengan pendekatan ini, masalah penagihan dadah dan seks bebas dapat dihapuskan dan penyakit HIV/AIDS dapat dijauhi.

Sentiasa Amalkan Gaya Hidup Sihat
Badan yang sihat dan cergas menjanjikan kehidupan yang sempurna. Apabila anda mengamalkan gaya hidup yang sihat, secara automatiknya anda dapat mengelak dari melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral seperti seks bebas atau menagih dadah dan seterusnya dapat mengelak dari dijangkiti penyakit berbahaya ini. Amalan gaya hidup yang sihat merangkumi semua aspek kesihatan dari segi pemakanan, senaman dan aktiviti harian.