Terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan mengenai kecergasan fizikal iaitu:
Falls (1980) menyatakan:
Kecergasan fizikal merupakan kecergasan untuk kesihatan merangkumi aspek-aspek yang berkaitan dengan fungsi fisiologi dan psikologi yang dipercayai memberi seseorang individu perlindungan dari ancaman penyakit-penyakit hipokinetik (kekurangan pergerakan) seperti penyakit jantung, kegemukan dan pelbagai penyakit otot dan tulang.”
Aris Fazil, et al. (2003) pula berpendapat:
“Kecergasan fizikal adalah kemampuan dan keupayaan individu melakukan tugas serta tanggungjawab harian tanpa cepat mengalami kelesuan, masih mempunyai tenaga untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesenggangan dan dapat menghadapi segala kecemasan yang berkemungkinan berlaku.”
Wee (2001), berpendapat:
“Kecergasan fizikal merupakan keupayaan untuk memenuhi keperluan kehidupan seharian dan masih mempunyai tenaga untuk bertindak balas terhadap perkara yang tidak diduga.”
Seperti yang telah anda pelajari dalam Topik 1, dua jenis komponen kecergasan ialah:
Kecergasan Berlandaskan Kesihatan
Kecergasan yang berlandaskan kesihatan berkaitan dengan keupayaan seseorang itu melakukan kerja-kerja hariannya dengan penuh semangat dan kemampuannya mengelak dan menjauhkan diri daripada dijangkiti penyakit-penyakit cara hidup sedentari. Penyakit-penyakit ini dikenali sebagai hipokinetik, sejenis penyakit/keadaan yang dikaitkan dengan kekurangan aktiviti fizikal, seperti diabetes dan penyakit jantung.
Kecergasan ini terdiri daripada 5 komponen:
Daya Tahan Kardiovaskular (Cardiovascular Endurance)
Ini bermaksud sistem kardiorespiratori (jantung), sistem peredaran darah dan paru-paru berfungsi lebih cekap dan berkemampuan untuk mengedar darah dan oksigen ke seluruh badan semasa sesuatu aktiviti senaman dilakukan.
Daya Tahan Otot (Muscular Endurance)
Keupayaan otot atau sekumpulan otot tulang melakukan pergerakan atau pengecutan untuk beberapa waktu yang lama atau ulangan yang tinggi.
Kekuatan Otot (Muscular Power)
Merujuk kepada kuasa atau tenaga maksima yang dapat dijanakan oleh sesuatu atau sekumpulan otot rangka.
Regangan/Kelenturan (Flexibility)
Elemen ini akan mengizinkan pergerakan anggota badan dengan bebas. Ia akan menentukan kelenturan otot, tendon, sendi dan ligamen yang terpaut pada tulang.
Komposisi Badan (Body Composition)
Setiap orang harus memiliki sejumlah lemak badan untuk kesihatan yang baik. Lemak ini dikenali sebagai ‘lemak penting’ dan diperlukan sebagai sumber tenaga yang tersimpan untuk tujuan pengawalan suhu badan, penyerapan gegaran dan pengawalan nutrien penting dalam badan.
Kecergasan Berlandaskan Perlakuan Motor
Kecergasan jenis ini adalah penting untuk individu dan atlit yang mempunyai daya tahan dan berprestasi tinggi seperti pelari pecut. Ia terdiri daripada 6 komponen iaitu:
Koordinasi (Coordination)
Ia berkait rapat dengan keberkesanan dan keseragaman yang cekap dalam pergerakan tubuh badan seseorang individu.
Imbangan (Balance)
Imbangan ialah kebolehan untuk mengekalkan keseimbangan apabila pusat graviti seseorang dan dasar yang menyokongnya diubah. Ia dapat mengekalkan kedudukan ini dalam keadaan teguh semasa melakukannya ketika bergerak atau diam.
Kuasa (Power)
Kuasa adalah gabungan kekuatan otot dan kelajuan, ia merupakan keupayaan seseorang melakukan sesuatu pergerakan pantas yang mengejut dalam jangka masa yang singkat dengan kecekapan yang tinggi. Kuasa dihasilkan daripada proses penguncupan otot yang kuat dalam masa yang singkat.
Ketangkasan (Agility)
Ia merupakan kebolehan seseorang mengubah arah pergerakan secara pantas dan cekap. Ia juga boleh menukar kedudukan di ruang tertentu secara kemas dan mudah.
Masa tindak balas (Reaction Time)
Satu jangka masa yang diambil untuk bergerak dan bertindak selepas menerima rangsangan untuk berbuat demikian. Ia selalu dikaitkan dengan faktor deria penglihatan dan pendengaran.
Kelajuan (Speed)
Keupayaan seseorang individu melakukan pergerakan berturut-turut dengan pantas dalam masa yang singkat mengikut sesuatu arah. Kelajuan individu berkait rapat dengan masa tindak balas dan masa bergerak.
Secara keseluruhan, kecergasan fizikal merupakan aspek yang penting dalam kesihatan kerana tanpa hidup yang cergas kita tidak akan mampu melakukan tugasan harian dengan cepat dan kurangnya tenaga dalam badan untuk bertindak balas terhadap perkara yang tidak diduga. Selain itu, kita juga akan memberi ruang kepada pelbagai jenis penyakit seperti diabetes, penyakit jantung koronari, angin ahmar dan tekanan darah tinggi untuk memberi ancaman kepada kita. Justeru itu, bersenamlah untuk mengekalkan tahap kecergasan anda kerana amalan hidup cergas dan aktif adalah penting untuk kesihatan tubuh badan dan otak.
Senaman yang Sistematik Mengikut Perubahan Metabolisme Badan
Senaman yang dibuat secara sistematik akan memastikan perubahan fisiologi yang berlaku pada tubuh anda dapat diterima dalam kadar normal. Sekiranya aktiviti senaman dibuat secara mendadak, perubahan fisiologi ini memaksa badan melakukan kadar bebanan kerja yang di luar kemampuannya. Ini akan mengakibatkan tubuh badan anda mengalami komplikasi seperti kecederaan atau keletihan yang melampau.
Cara yang terbaik melakukan senaman adalah memadankannya dengan kadar perubahan metabolisme badan anda. Mulakan dengan melakukan pergerakan ringan dahulu supaya sistem kardiovaskular dan sistem respiratori badan anda dapat dipertingkatkan ke tahap yang diperlukan. Begitu juga dengan sistem organ-organ yang lain agar secara perlahan-lahan kadar metabolisme badan anda akan dapat menyaingi kadar beban kerja yang perlu dilakukan.
Kesan Senaman dari Aspek Fisiologi
Senaman yang dilakukan secara tetap dan berterusan akan mempertingkatkan sistem fisiologi tubuh badan anda. Pada peringkat permulaan, kadar denyutan jantung anda akan meningkat kepada kadar kerja yang ditetapkan. Perubahan ini akan mempertingkatkan kekuatan otot jantung untuk mengepam darah dalam volum yang banyak melalui kadar denyutan yang paling minima. Perubahan juga berlaku pada tahap ketahanan denyutan jantung di mana ia mampu melakukan kerja mengepam darah dalam satu jangka masa yang lama tanpa kepenatan. Ini akan meningkatkan daya tahan aerobik anda.
Selain daripada ini, kadar sistem keupayaan respiratori anda juga akan meningkat ke kadar yang lebih tinggi. Ini akan membuat anda berupaya bernafas dengan lebih baik dan kuat. Perubahan ini akan membuat kadar pengambilan oksigen meningkat di mana secara langsung akan meningkatkan bekalan oksigen kepada sel-sel di dalam tubuh badan anda. Ini akan membuatkan sel-sel tersebut dapat bekerja dengan lebih efisien.
Di samping itu, kadar tahap kekuatan otot, kuasa, kecergasan, ketangkasan dan koordinasi anda juga akan bertambah dengan berlakunya perubahan fisiologi pada tubuh badan anda. Keadaan ini akan menjadikan anda seorang individu yang cergas dari segi fizikal berbanding individu yang sedentri. Anda akan menjadi lebih bertenaga dan berupaya melakukan sebarang aktiviti fizikal dengan lebih lama tanpa mudah mengalami kepenatan.